Sunday, September 2, 2012

Sekurang-kurangnya Itu...

Salam..

Ehem, mau tulis something, agak panjang, tapi rasa macam mau share... Bukan bertujuan untuk memburuk-burukkan. Tapi memang ni lah hakikat cerita yang sy dengar.. Jangan judge selagi kisah x tamat :p Maybe TL;DR for some people, tapi... Ndapalah, divide2 kaa, baca satu perenggan setiap bulan. Atau tutup ja tab tuu, senang cerita. Haha. Okay. Teruskan.


***
WANITA tersebut mengelamun jauh. Kuperhatikan riak wajahnya buat seketika. Dia seakan-akan sedang mengimbau satu kisah yang cukup nostalgik. Kadang-kadang kepalanya digeleng ringan. Kadang-kadang pula, jari-jemarinya menggosok-gosok matanya. Menyedari bahawa sepasang mata sedang memandangnya, wanita tersebut memalingkan wajah dan memandang ke arahku dengan mata yang bersinar. Komunikasi tanpa kata, kuturuti permintaannya menerusi pandangan mata yang seakan-akan ingin aku untuk duduk di tepi, mendengar kisahnya. Sementara menunggunya untuk mula bercerita, kuamati wajahnya dari jarak dekat. Kedut-kedut pada kulitnya cukup untuk menceritakan betapa luasnya pengalaman hidup yang telah dilaluinya. Saat dia membuka mulut untuk berbicara, diri ini terdiam seribu kata, terpaku melihat dan mendengar gaya penceritaannya yang bersahaja tetapi cukup menyentuh perasaan...

***

"Ma, mahu pergi main!"

Dialihkan pandangannya dari anak dalam pangkuan yang baru dilahirkan kepada anaknya yang sedang berusia 9 tahun. Dibalasnya dengan senyuman penuh kasih sayang diikuti anggukan ringan. Sebaik menerima signal persetujuan si ibu, pantas si anak berlari menuju ke arah rakan-rakannya yang sedang menunggu di hadapan rumah. Sambil memandang kelibat anaknya yang sedang berlari, dia terbayangkan nasib anaknya. Dalam benaknya, anaknya itu pasti sedang menuntut dalam tahun tiga sekiranya dia tidak berhenti belajar. Terpengaruh dengan rakan-rakan lain yang tidak ke sekolah, dia berhenti di separuh jalan ketika belajar dalam tahun dua. Masyarakat pada waktu itu, cukup berbeza. Pendidikan bukannya salah satu keutamaan, yang penting, punya wang untuk meneruskan hidup dari ke hari. Wanita ini, biarpun tidak berpendidikan tinggi, dia geliga. Dia tidak ingin membiarkan anak-anaknya dibiarkan tanpa pendidikan.


Menyedari betapa pentingnya pendidikan, ditambah pula dengan semangatnya yang berkobar-kobar untuk melihat anaknya berjaya, dia mengambil keputusan untuk menghantar anaknya kembali ke sekolah. Belum pun habis tempoh pantangnya, dia mengarahkan anaknya yang berusia 9 tahun untuk ke sekolah. Dikendongnya anak yang baru lahir sambil tangan kanannya memimpin anaknya yang berusia 9 tahun. Maka berjalan kakilah wanita itu bersama-sama dengan anaknya menuju ke sekolah yang berbatu-batu jauhnya. Perjalanan mereka pula berlatarkan tangisan pasang surut si kecil, yang mungkin tidak tahan dengan panas terik mentari. Si anak pula, semakin lama menjadi semakin tidak keruan mengenangkan nasibnya apabila tiba di sekolah nanti.

Apabila tiba di sekolah, wanita tersebut berjumpa dengan guru kelas tahun tiga dengan harapan yang tinggi menggunung. Wanita itu memohon agar guru tersebut memberi peluang kepada anaknya untuk terus belajar, menyertai rakan-rakannya yang lain. Si guru membalas dengan suara yang kuat. Satu kelas bergema dengan kelantangan suaranya.

"Anak kau yang ni bodoh! Kenapa dia tidak boleh jadi seperti dua adik-beradiknya yang lain? Jadi pandai dan dengar kata? Dia ni bodoh!"


Bodoh?

Berkecai. Hancur luluh. Teramatlah terguris hatinya mendengar kata-kata kejian terhadap anaknya. Diperjuangkannya hak diri dan anaknya dengan harapan agar anaknya dapat terus menyambung pembelajaran di sekolah tersebut. Selepas beberapa lama mereka bertikam lidah, wanita tersebut menuju ke bilik guru besar. Wanita tersebut menyuruh anaknya untuk masuk ke dalam dan berbincang dengan guru besar. Mata si anak berkaca-kaca. Diusap lembut kepala anaknya sebelum diberikan tepukan lembut di bahagian belakang. Si anak memberanikan diri untuk masuk ke bilik guru. Guru besar memberikan persetujuan agar si anak menyambung pembelajarannya di tahun tiga. Khabar yang cukup untuk membuatkan wanita tersebut tersenyum gembira.

***

Jeda. Ceritanya terhenti seketika, menahan sebak, mungkin? Mata wanita tua itu berkaca-kaca. Diriku juga tidak dapat menahan perasaan. Kupalingkan wajah ke arah lain untuk mengusap air mata yang jatuh berlinangan.

***

To be continued.. Mengantuk. :')

No comments:

Post a Comment

Yes...?